Laman

Sabtu, 09 April 2011

KENDURI ARWAH MENURUT IMAM SYAFI'I


Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berkata dalam kitabnya “Al-Umm”:

وأحب لجيران الميت أو ذى قرابته أن يعملوا لاهل الميت في يوم يموت وليلته طعاما يشبعهم فإن ذلك سنة وذكر كريم وهو من فعل أهل الخير قبلنا وبعدنا لانه لما جاء نعى جعفر قال رسول الله صلى الله عليه وسلم " اجعلوا لآل جعفر طعاما فإنه قد جاءهم أمر يشغلهم"

“Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberi makan kepada ahli mayat, yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Kerana itu adalah sunnat dan ingatan (zikir) yang mulia, dan ianya adalah perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita. Ini kerana apabila tiba berita kematian Ja’far, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah datang perkara yang mengharukan kepada mereka.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/317) 

Beliau juga berkata:

وأكره المأتم وهى الجماعة وإن لم يكن لهم بكاء فإن ذلك يجدد الحزن ويكلف المؤنة مع ما ضى فيه من الاثر

“Dan aku membenci membuat perkumpulan iaitu berkumpul, walaupun dalam majlis itu tidak terdapat tangisan (ratapan) kerana sesungguhnya perkara itu (berkumpul) akan mengembalikan kesedihan dan memberikan beban berdasarkan atsar yang telah lalu.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/318)

Yang dimaksudnya atsar oleh Imam Asy-Syafi’i tersebut adalah atsar yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdulullah Al-Bajali radhiallahu ‘anhu:

كُنَّا نَعُدُّ الاجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنِيعَةَ الطَّعَامِ بَعْدَ دَفْنِهِ مِنْ النِّيَاحَةِ

“Kami mengira berhimpun orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah sebahagian dari ratapan kematian.” (Hadis riwayat Ahmad dalam Musnadnya; Syu’aib Al-Arnauth berkata: Sahih dalam Takhrijnya ke atas Musnad Ahmad, no: 6905)

Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i rahimahullah mengulas perkataan Imam Asy-Syafi’i di atas tadi dengan mengatakan:

واستدل له المصنف وغيره بدليل آخر وهو انه محدث

“Pengarang (Imam Asy-Syafi’i) dan ulama-ulama yang lain berpendapat berdasarkan dalil yang lain bahawa perbuatan itu (yakni mengadakan perkumpulan) adalah merupakan perkara yang baru.” (Al-Majmu’, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 5/306)

Beliau (Imam An-Nawawi) juga berkata:

(واما) الجلوس للتعزية فنص الشافعي والمصنف وسائر الاصحاب علي كراهته ونقله الشيخ أبو حامد في التعليق وآخرون عن نص الشافعي قالوا يعنى بالجلوس لها ان يجتمع اهل الميت في بيت فيقصدهم من اراد التعزية قالوا بل ينبغى ان ينصرفوا في حوائجهم فمن صادفهم عزاهم ولا فرق بين الرجال والنساء في كراهة الجلوس لها

“Dan adapun berkumpul untuk takziah, maka Asy-Syafi’i dan pengarang Al-Musannif, mereka telah menetapkan bahawa perbuatan itu adalah perkara yang dibenci. Syeikh Abu Hamid telah menukilkan dalam At-Ta’liq dan ulama yang lain daripada nas Asy-Syafi’i berkata: Yakni duduk takziah iaitu keluarga si mati berkumpul di rumah, lalu mereka menunggu orang yang ingin bertakziah. Beliau berkata: Mereka mengatakan: Bahkan hendaklah mereka beredar pergi untuk berusaha memenuhi keperluan hidup mereka. Maka sesiapa yang terserempak menemui mereka, maka bolehlah dia bertakziah kepada mereka. Tidak ada perbezaan di antara kaum lelaki dan kaum perempuan pada larangan duduk berkumpul untuk bertakziah.” (Al-Majmu’, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 5/306)

Demikianlah sunnah dalam berlakunya kematian adalah memberi makanan kepada keluarga si mati kemudian mengucapkan takziah kepadanya. Inilah pendapat Imam Asy-Syafi’i dan jumhur ulama termasuklah kitab-kitab jawi dari ulama Nusantara juga berpendapat sedemikian. Berikut saya nukilkan beberapa perkataan ulama Nusantara tersebut:

1 - Dalam Kitab Furu’il Masa’il

“Dan demikian lagi yang dikerjakan manusia dengan barang yang dinamakan dia dengan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh dan empat puluh dan umpamanya, yang demikian itu haramkah atau makruh atau harus. (Maka dijawabnya) Maka adalah segala yang tersebut makruh yang dicela pada syarak kerana tegah pada syarak kata syeikh Ibn Hajar tiada sah wasiatnya.” (Furu'il Masaail, Syeikh Daud bin Abdullah Al-Fathani, Juz 1, halaman 183)

2 – Dalam Kitab Sabil Al-Muhtadin

“Dan makruh lagi bid'ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang disukanya manusia atas makan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi bid'ah bagi segala mereka yang diserunya perkenankan seruannya.” (Sabil Al-Muhtadin, Syeikh Muhammad bin Abdullah Al-Banjari, Juz 2, halaman 83)

3 – Dalam Kitab Kasyful Litsaam

“Barang dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat dan kemudian lagi dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan empat puluh hari dan umpamanya yang demikian itu yang diperbuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak kerana tegah pada syarak.” (Kasyful Litsaam, Juz 1, halaman 85)

4 – Dalam Kitab Bughyat At-Tullab

“Dan sunnah bagi jiran keluarga mayat dan orang yang berkenalan dengan keluarganya, jikalau bukan jirannya sekalipun dan segala kerabatnya yang jauh, membawa makan makanan akan orang yang kematian yang mengenyangkan mereka itu pada hari dan malamnya (serta) menyungguh-nyugguh akan mereka itu suruh mereka makan kerana mereka itu terkadang meninggal akan makan sebab sangat terkejut hati mereka itu….

Dan makruh lagi bid'ah bagi orang kematian memperbuat makanan menserukan (menyerukan) segala manusia atas memakan dia, sama ada dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah diadatkan kebiasaan manusia. Demikian lagi makruh lagi bid'ah bagi segala orang yang diserukan dia memperkenankan seruannya.

Dan setengah daripada yang qabihah lagi makruh mengerjakan dia barang yang dikerjakan kebiasaan manusia barang dimakan dengan kaffarah dan wahsyah dan tujuh hari dan empat puluh dan umpamanya yang demikian itu……

Adapun asal sunnah mensediakan makanan itu pada barang yang dahulunya sabda Nabi s.a.w tatkala datang khabar kematian saidina Ja'far bin Abu Talib pada perang mu'tah, perbuat olehmu bagi keluaraga Ja'far makanan maka sesungguhnya telah datang akan mereka itu barang yang membimbangkan mereka itu.” (Bughat At-Thullab, Syeikh Daud bin 'Abdullah Al-Fathani, juz 2, halaman 33-34)

Adapun amalan membaca Al-Qur’an untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka dalam masalah ini Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i rahimahullah menjelaskan tentang pendapat jumhur dalam mazhab Syafi’i iaitu kata beliau:

وَأَمَّا قِرَاءَة الْقُرْآن فَالْمَشْهُور مِنْ مَذْهَب الشَّافِعِيّ أَنَّهُ لا يَصِلُ ثَوَابُهَا إِلَى الْمَيِّت وَقَالَ بَعْض أَصْحَابه : يَصِل ثَوَابهَا إِلَى الْمَيِّت

“Dan adapun pembacaan Al-Qur’an, maka yang masyhur dari mazhab Syafi’i bahawa ianya tidak sampai kepada mayat sedangkan sebahagian sahabatnya mengatakan: Pahalanya sampai kepada mayat.” (Syarah An-Nawawi ‘ala Muslim, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/25)

Firman Allah Ta’ala:

وَأَنْ لَيْسَ لِلإِنْسَانِ إِلاَّ مَا سَعَى

Maksudnya: “Dan bahawasanya seseorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” (Surah An-Najm: 39)

Al-Hafiz Imam Ibnu Katsir rahimahullah berkata:

ومن وهذه الآية الكريمة استنبط الشافعي رحمه الله، ومن اتبعه أن القراءة لا يصل إهداء ثوابها إلى الموتى؛ لأنه ليس من عملهم ولا كسبهم؛ ولهذا لم يندب إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم أمته ولا حثهم عليه، ولا أرشدهم إليه بنص

“Dan melalui ayat yang mulia ini, Imam Asy-Syafi’i rahimahullah dan para pengikutnya mengistinbatkan hukum bahawa pahala bacaan (Al-Qur’an) yang dihadiahkan kepada orang mati tidak sampai kepadanya kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha mereka (orang mati). Oleh kerana itu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah mensunnahkan umatnya dan menganjurkan mereka melakukan perkara tersebut, serta tidak pula menunjukkan kepadanya (menghadiahkan bacaan kepada orang mati) walaupun dengan satu nas (dalil).” (Tafsir Al-Qur’an Al-‘Azhim, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 7/465)

Al-Haitami rahimahullah yang merupakan ulama dalam mazhab Syafi’i berkata dalam kitabnya Al-Fatawa Al-Kubra Al-Fiqhiyah:

الميت لا يقرأ عليه مبني على ما اطلقه المتقدمون من أن القراءة لا تصل إلى الميت لأن ثوابها للقارئ والثواب المرتب على عمل لا ينقل عن عامل ذلك العمل. قال الله تعالى: وَأَنْ لَيْسَ لِلإِنْسَانِ إِلاَّ مَا سَعَى

“Si mati tidak boleh dibacakan apa pun berdasarkan keterangan yang mutlak dari ulama mutaqaddimin (terdahulu) bahawa bacaan (yang pahalanya dikirmkan kepada si mati) adalah tidak dapat sampai kepadanya, sebab pahala bacaan itu adalah untuk pembacanya sahaja. Sedangkan hasil amalan tidak dapat dipindahkan dari amil (yang mengamalkan) perbuatan itu berdasarkan firman Allah (yang bermaksud): “Dan bahawasanya seseorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya.” (Al-Fatawa Al-Kubra Al-Fiqhiyah, juz 2, halaman 9; dinukil dari buku Membela Sunnah Nabawiyah, Jahabersa, halaman 61)

KESIMPULAN

Daripada keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa kebanyakan mereka yang mengaku mengikut mazhab Syafi’i sebenarnya mereka masih jauh dari apa yang dipegang sendiri oleh Imam Syafi’i. Kalaulah kita benar-benar merupakan pengikut mazhab Syafi’i yang tulen pasti kita mengikuti pegangan beliau sebagaimana yang telah dikemukakan di atas. Akan tetapi sebenarnya ramai dari mereka yang tidak tahu kenyataan ini, bahkan mereka dengan melulu menuduh orang yang mengajak kepada pendapat Imam Syafi’i di atas adalah sebagai wahabi dan sebagainya. Semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk melihat cahaya kebenaran.