Laman

Kamis, 31 Maret 2011

DZIKIR SETELAH SHOLAT MENURUT IMAM SYAFI'I

Dalam masalah ini pada kebiasaannya yang dilakukan di Malaysia dan Indonesia adalah para jamaah berzikir setelah solat fardhu secara bersama-sama dengan dikeraskan suara. Mari kita lihat apakah pandangan Imam Asy-Syafi’i dalam maslah ini:

Imam Asy-Syafi’i rahimahullah berkata:

واختيار للامام والمأموم أن يذكر الله بعد الانصراف من الصلاة ويخفيان الذكر إلا أن يكون إماما يجب أن يتعلم منه فيجهر حتى يرى أنه قد تعلم منه ثم يسر

“Imam dan makmum boleh memilih sama ada ingin berzikir kepada Allah (atau tidak) selepas solat. Dan mereka hendaklah memperlahankan zikir kecuali dia merupakan seorang imam. Imam wajib mengajari makmum berzikir, maka hendaklah dia kuatkan zikirnya sehingga dia melihat bahawa telah dipelajari darinya (zikir-zikir tersebut). Kemudian hendaklah dia perlahankan semula. (Al-Umm, Kitab As-Solah, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/150)

وأحسبه إنما جهر قليلا ليتعلم الناس منه ذلك لان عامة الروايات التى كتبناها مع هذا وغيرها ليس يذكر فيها بعد التسليم تهليل ولا تكبير وقد يذكر أنه ذكر بعد الصلاة بما وصفت ويذكر انصرافه بلا ذكر وذكرت أم سلمة مكثه ولم يذكر جهرا وأحسبه لم يكث إلا ليذكر ذكرا غير جهر

“Aku berpendapat baginda (Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam) menguatkan suara ketika berzikir hanya untuk seketika sahaja. Tujuannya agar para sahabat dapat mempelajari zikir itu daripadanya. Ini kerana, kebanyakan riwayat yang telah kami tulis sama ada bersama kitab ini (Al-Umm) atau selainnya langsung tidak menyebut adanya bacaan tahlil atau takbir selepas baginda memberi salam. Kadang-kadang riwayat yang datang menyebut baginda berzikir selepas solat seperti apa yang aku nyatakan (secara kuat) dan kadangkala baginda beredar (meninggalkan saf) tanpa berzikir. Menurut apa yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah, baginda tidak berzikir secara kuat selepas solat. Oleh itu, aku berpendapat bahawa baginda tidak akan duduk sama sekali kecuali berzikir tanpa dikuatkan suara.” (Al-Umm, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 1/150-151)

Pendapat Imam Asy-Syafi’i di atas ini sememangnya selari dengan sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam yang mana setelah solat baginda berzikir secara bersendirian tanpa dikeraskan suara. Terkadang baginda juga pernah tidak berzikir setelah solat. Ini sebagaimana diriwayatkan Jabir bin Yazid ibnu Aswad berkata:

عَنْ أَبِيهِ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ إِذَا انْصَرَفَ انْحَرَف

“Daripada ayahnya bahawa dia pernah solat bersama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam solat subuh. Setelah selesai solatnya, maka baginda segera meninggalkan tempat solatnya”. (Hadis riwayat Abu Daud dan An-Nasa’i, disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Abu Daud, no: 614 dan dalam Sahih wa Dha’if Sunan An-Nasa’i, no: 1334)

Namun yang lebih utama adalah berzikir terlebih dahulu sebelum meninggalkan tempat solat kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam sering melakukannya sebagaimana terdapat banyak riwayat tentang bacaan zikir yang diajarkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam setelah solat.

Adapun berdoa setelah solat fardhu secara berjamaah telah diterangkan oleh Imam An-Nawawi Asy-Syafi’i rahimahullah bahawa ianya tidak ada asal usulnya sebagaimana katanya:

قد ذكرنا استحباب الذكر والدعاء للامام والمأموم والمنفرد وهو مستحب عقب كل الصلوات بلا خلاف وأماما اعتاده الناس أو كثير منهم من تخصيص دعاء الامام بصلاتي الصبح والعصر فلا أصل له

“Kami telah menyebutkan tentang kesunnatan berzikir sesudah solat bagi Imam bagi makmum, dan bagi yang bersolat secara bersendirian adalah dikehendaki berbuat yang demikian (secara bersendirian) pada setiap solat lima waktu tanpa khilaf. Dan adapun adat yang diadakan manusia atau kebanyakan dari mereka, iaitu imam menentukan doa buat solat subuh dan asar, maka ianya tidak ada asal usulnya”. (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, dalam Al-Maktabah Asy-Syamilah, 3/488)

KESIMPULAN

Daripada keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa kebanyakan mereka yang mengaku mengikut mazhab Syafi’i sebenarnya mereka masih jauh dari apa yang dipegang sendiri oleh Imam Syafi’i. Kalaulah kita benar-benar merupakan pengikut mazhab Syafi’i yang tulen pasti kita mengikuti pegangan beliau sebagaimana yang telah dikemukakan di atas. Akan tetapi sebenarnya ramai dari mereka yang tidak tahu kenyataan ini, bahkan mereka dengan melulu menuduh orang yang mengajak kepada pendapat Imam Syafi’i di atas adalah sebagai wahabi dan sebagainya. Semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk melihat cahaya kebenaran.